Johor Bahru: Kira-kira 440,000 graduan bidang teknikal dan kejuruteraan dari empat universiti awam (UA) dan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menerima gelaran Ahli Teknologi (TS) selepas Rang Undang-Undang Teknologi dan Juruteknik 2014 diluluskan pada 2 April lalu.

Timbalan Menteri Sains dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, mereka adalah lulusan dari beberapa universiti yang berdepan kesukaran dalam kerjaya sebelum ini kerana tidak diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia (LJM).

Katanya, antaranya institusi pengajian itu termasuk Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) Melaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Kewujudan akta itu amat penting bagi memperakui peranan mereka sebagai ahli teknologi yang turut memberi sumbangan besar kepada negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Malaysian Youth Civilian Assembly (MYCA) 2015 di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Persatuan Kontraktor Malaysia Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UTM Prof Dr Ismail Abd Aziz dan Pengarah MYCA 2015 Muhammad Mustaqim Mohd Tarmizi.

“Sebelum ini, mereka tidak diiktiraf sebagai golongan profesional dan bertauliah sedangkan mempunyai kepakaran dalam pemeriksaan produk dan sebagainya.

“Menerusi akta berkenaan, graduan terbabit mendapat gelaran TS bagi memperakui kepakaran mereka seperti gelaran Ir yang digunakan oleh jurutera,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar menyambut baik penganjuran MYCA 2015 yang dilihat sebagai platform perkongsian pendapat dan pengalaman antara penuntut UTM dan ahli panel terbabit.

“Seperti yang kita sedia maklum, kejuruteraan awam adalah salah satu bidang yang merangkumi pelbagai aspek berhubung rapat dengan dunia kejuruteraan.

“Justeru, saya berharap supaya pelajar dapat mendedahkan diri dengan program seperti ini sebelum berdepan dunia luar yang jauh lebih mencabar,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya program ini dapat mendekatkan diri pelajar dengan masyarakat luar, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk berdepan cabaran dalam lapangan diceburi nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 8:31 AM