Husaini dan Salinatin bergambar bersama ahli keluarga selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke-82 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam.
Husaini dan Salinatin bergambar bersama ahli keluarga selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke-82 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam.

Shah Alam: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-82 semalam, menjadi detik paling manis buat seorang graduan apabila dia mencatat sejarah sebagai bekas penuntut Sijil Seni Foto Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pertak pertama berjaya menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Lebih bermakna apabila Husaini Yaacob, 52, berkongsi hari konvokesyen sama dengan isteri tercinta Salinatin Mohamad Saleh, 45.

Dia yang dianugerahkan PhD Seni Lukis dan Seni Reka dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM berjaya menghabiskan pengajiannya selama tiga tahun setengah.

Menurutnya, bermula dengan mengambil sijil dalam jurusan fotografi, dia nekad mahu membuktikan penuntut dari IKBN juga mampu berjaya dalam bidang yang diceburi sehingga ke peringkat PhD.

“Saya mengambil kursus berkenaan pada 1983 selama setahun sebelum bekerja di USM (Universiti Sains Malaysia) Pulau Pinang. Sejak itu saya mula melangkah ke hadapan.

“Saya mahu maju dalam bidang diceburi. Jadi saya memilih untuk menyambung pengajian dalam seni foto,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, di sini, semalam.

Istiadat pembukaan konvokesyen itu disempurnakan Pro-Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub.

Husaini berkata, bekas pelajar dari IKBN sepatutnya tidak perlu malu dan rendah diri untuk memajukan diri sebaliknya berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan.

Sementara itu, Salinatin dianugerahkan Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka (Penyelidikan) dari fakulti sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 8:49 AM