DUA tertuduh kelihatan tenang selepas keputusan kes dibacakan.
Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, atas kesalahan mengedar heroin dan monoacethylmorphines seberat 196.4 gram, kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh K Siva, 32, dan rakannya, S Satish, 22, berasal dari Sungai Petani, dekat sini, kelihatan tenang sebaik keputusan dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 156.1 gram dan monoacethylmorphines seberat 40.3 gram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di depan lorong Bangunan HPA, Jalan Cempaka 1, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani kira-kira jam 7 malam pada 19 Julai 2012 lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Mohd Zaki berkata, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman mati seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 39B (2) ADB 1952.

“Mahkamah tidak mempunyai alternatif lain kecuali menjatuhkan hukuman gantung hingga mati,” katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan seramai enam saksi dan pihak pembelaan dua saksi.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam KT Jayaraj.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 1:07 PM