YUNA
DAVID bersama seorang peminatnya.
Oleh Michelle Gun

Kuala Lumpur: Penerbit album dan komposer tersohor David Foster, 65, berpendapat penyanyi popular tanah air Yuna belum bersedia bergelar penyanyi bertaraf antarabangsa.

Foster berkata, penyanyi dan pencipta lagu berusia 29 tahun itu perlu mempertingkatkan lagi bakatnya dalam bidang nyanyian.

“Kami pernah bekerjasama secara rapat dan saya akui dia penyanyi muda yang berpotensi besar di Asia. Namun usaha Yuna masih tidak mencukupi untuk menjadikannya artis bertaraf antarabangsa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena konsert jelajah Asia Hitman David Foster and Friends, di sini, semalam.

Menurutnya, Yuna berjaya mencuri perhatiannya ketika penyanyi itu bekerjasama dengan penyanyi Pharrell Williams menerusi lagu Live Your Life pada Januari 2012.

“Dia penyanyi yang unik dan juga pemuzik serta pencipta lagu berbakat. Saya percaya apabila dia mempertingkatkan bakatnya nanti, dia bukan saja dapat mengharumkan nama negara, tetapi juga Asia di persada dunia,” katanya.

Pada 2013, Yuna melancarkan album mini berjudul Sixth Street yang diterbitkan di bawah Verve Music Group yang Foster pengerusinya.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai kini berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat sejak 2011 dan menghasilkan empat album untuk pasaran antarabangsa iaitu Decorate, Yuna, Sixth Street dan Nocturnal.

Sementara itu, dalam konsert berkenaan yang akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 14 Ogos ini, Foster akan berganding dengan penyanyi terkenal dunia seperti Boyz ll Men, Ruben Studdard, Peter Cetera, Natalie Cole and Jackie Evancho.

Ia diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Resorts World Genting.

Menurut Foster, itu kali kelima dia mengadakan persembahan di Malaysia.

“Saya suka Malaysia kerana mempunyai budaya unik dan rakyatnya sangat peramah serta sopan,” katanya.

Sepanjan 40 tahun terbabit dalam industri muzik, Foster sudah menang 16 anugerah di Grammy Awards dan pernah berkolaborasi dengan ramai penyanyi hebat antaranya Celine Dion, Whitney Houston, Josh Groban dan Michael Buble.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 9:44 AM