Putrajaya: Orang kurang upaya (OKU) perlu menunjukkan sijil dikeluarkan badan kebajikan swasta yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika membeli alat bantuan OKU.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata, alat bantuan untuk OKU seperti kerusi roda, alat bantuan pendengaran, tongkat, kasut khas, katil mekanikal mudah alih dan alat bantuan penglihatan memang dikenakan GST.

“Tetapi OKU boleh mendapatkan pelepasan dengan menunjukkan sijil berkenaan kepada peniaga untuk menikmati kemudahan itu.

“Dalam Akta GST memang ada peruntukan ini, tetapi ada yang tidak sedar mengenainya. Pada masa sama peniaga juga perlu peka mengenai perkara ini dengan memberikan pelepasan sekiranya ada OKU mengemukakan sijil berkenaan ketika membeli peralatan terbabit,”katanya pada sidang media di sini, semalam.

Subromaniam berkata, pengecualian itu terdapat dalam Butiran 7 Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pelepasan) 2014.

Sementara itu, Subromaniam berkata, mengikut Seksyen 64 Akta GST 2014 pembekalan kerajaan persekutuan dan negeri adalah tidak dikenakan GST, begitu juga pembekalan berkaitan fungsi pengawalseliaan atau penguatkuasaan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun.

Katanya, hanya aktiviti perniagaan yang dibekalkan sahaja seperti penyewaan dewan dan premis komersial dikenakan GST.

Namun, beliau berkata, PBT berada dalam kedudukan sangat selesa pada era GST berbanding Cukai Jalan dan Perkhidmatan (SST) kerana boleh menuntut semula semua cukai input yang ditanggung oleh mereka.

“Di bawah SST kalau PBT beli barang seperti kereta, perkhidmatan kawalan keselamatan, yuran guaman, perkhidmatan telekomunikasi, yuran perundingan dan perkhidmatan profesional lain itu tak boleh dituntut semula.

“Tetapi di bawah GST cukai input boleh dituntut semula, bermakna PBT berada dalam kedudukan lebih baik berbanding SST, begitu juga perniagaan yang berdaftar mereka juga boleh tuntut semula cukai berkenaan,”katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Ketua Pengarah JKDM sudah mengarah supaya pegawainya turun padang ke setiap negeri untuk memberi penjelasan sebenar kepada PBT bagi mengelakkan kekeliruan.

Dalam perkembangan lain, Subromaniam berkata jumlah pendaftaran GST sehingga kelmarin adalah 376,095.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 9:50 AM
Kabinet Malaysia 2020