Oleh Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Dua anggota polis adalah antara 38 individu yang ditahan, baru-baru ini, mengikut siasatan Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIP-SOM).

Selain dua anggota polis itu, tangkapan turut membabitkan ejen, ketua sindiket serta tekong.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua tangkapan itu dilakukan antara Mac hingga April lalu membabitkan sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di utara Malaysia dan selatan Thailand.

“Mengenai isu pemerdagangan manusia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mematahkan tujuh sindiket dan menahan 38 individu.

“Penahanan membabitkan 21 warga Myanmar, 16 warga Malaysia dan seorang warga Indonesia antara Mac 2015 dan April 2015. Mereka terdiri daripada ejen, ketua sindiket, tekong dan dua anggota polis.

“Mangsa sindiket itu didominasi warga Myanmar dan Bangladesh. Sindiket ini juga dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR),” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Kenyataan media itu dikeluarkan susulan pertemuan kepemimpinan polis dua negara berkaitan Kajian Jawatankuasa Bersama Jabatan Malaysia-Thailand ke-23 Berhubung Aktiviti Jenayah di Phuket dari 11 hingga 14 Mei.

Khalid berkata, PDRM dan Polis Diraja Thailand bekerjasama rapat untuk meningkatkan dan mengekalkan keselamatan sempadan bersama.

Menurutnya, antara tengah malam 10 Mei hingga awal pagi 11 Mei lalu PDRM juga sudah menahan 1,018 pendatang asing tanpa izin (PATI) di pantai Langkawi yang terdiri daripada 555 warga Bangladesh dan 463 warga Myanmar.

“Dua kapal yang digunakan oleh PATI itu juga telah dirampas. Mereka yang ditahan itu akan diambil tindakan lanjut selepas siasatan selesai,” katanya.

ASEAN digemparkan isu pemerdagangan dan penyeludupan orang apabila puluhan mayat ditemui di sempadan Thailand-Malaysia, baru-baru ini selain tiga lagi lokasi disyaki dijadikan kem penampungan juga ditemui pihak berkuasa.

Ratusan disyaki Rohingya ditemui dalam hutan selepas ditinggalkan di situ oleh penyeludup yang membawa mereka ke situ.

Semua ini secara tidak langsung memaksa ramai pihak terutama di Thailand membuka mata dan mengakui betapa besarnya masalah penyeludupan manusia di rantau ini yang sebenarnya sudah berlaku sejak sekian lama.

Mayat ditemui rata-rata etnik Rohingya Myanmar atau warga Bangladesh yang sanggup menggadaikan nyawa semata-mata mahu mencari kehidupan lebih baik di negara asing akibat desakan hidup disebabkan kemiskinan dan diburu di negara sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:09 AM