Mohd Khairul Afendy (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret Selayang, semalam.
Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

Selayang: Seorang kelindan lori yang menyamar sebagai doktor bagi memperdaya seorang wanita untuk mengahwininya sehingga mangsa menyerahkan RM7,800 untuk pembayaran pakej perkahwinan dipenjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Nurliana Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Afendy Zulfikrie Tazan, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang berkaca mata, memakai baju berwarna merah dan berseluar pendek itu kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh ditangkap iaitu 8 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya seorang wanita berusia 24 tahun untuk mengahwininya sehingga mangsa menyerahkan RM7,800 bagi pembayaran pakej perkahwinan di Jalan Semarak, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara bulan Oktober tahun lalu sehingga Februari lalu di sebuah apartmen di Bandar Baru Selayang, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira trauma dan kerugian yang dihadapi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 9:33 AM