Putrajaya: “Kita perlu menghormati dan menghindari daripada spekulasi tidak berasas tentang apa yang berlaku terhadap nahas helikopter berkenaan,” kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau memberi peringatan berkenaan memandangkan wujud pelbagai spekulasi dan teori tidak tepat mengenai nahas udara berkenaan.

Menurutnya, apa yang penting, pihak berkenaan harus sensitif terhadap perasaan dan kesedihan dirasai keluarga mangsa terbabit nahas itu.

“Buat masa ini, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) masih meneruskan penyiasatan bagi menentukan punca penurunan curam serta segala faktor relevan yang menyumbang kepada nahas helikopter berkenaan,” katanya pada sidang media khas berkaitan laporan awal nahas udara Eurocopter Dauphin AS365 N3 (9M-IGB), di sini, semalam.

Katanya, pihaknya mendapati, terdapat beberapa perkara boleh dipertingkatkan seperti dicadangkan AAIB apabila analisis terperinci kotak hitam perlu bagi mengetahui punca nahas sesuatu kemalangan.

Liow berkata, AAIB turut mencadangkan agar Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memastikan pengendali kategori persendirian mematuhi had operasi penerbangan bagi setiap kategori.

Menurutnya, beliau difahamkan, DCA akan mengkaji dan meneliti cadangan diberikan AAIB dikemukakan dalam laporan awal siasatan nahas itu.

“Bagi saya, kedua-dua individu iaitu Tan Sri Jamaluddin Jarjis (bekas Ahli Parlimen Rompin) dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias rakan sekerja dan saya mengenali mereka secara peribadi.

“Doa dan ingatan saya sentiasa bersama keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan tragis ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 9:46 AM