LIOW menunjukkan gambar rajah Eurocopter Dauphin AS365 N3 pada sidang media di Putrajaya, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Laporan awal siasatan nahas helikopter yang mengorbankan enam nyawa termasuk bekas Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada 4 April lalu dipercayai berpunca daripada kegagalan atau kerosakan sirip penstabil pesawat berkenaan.

Perkara itu didedahkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang media khas di sini, semalam, bagi memaklumkan laporan awal siasatan selepas sebulan kejadian malang nahas udara Eurocopter Dauphin AS365 N3 (9M-IGB) yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening-Pening, Semenyih itu.

Liow berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan pendaratan terakhir pesawat di padang Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagia, Rompin mendapati roda pendaratan kiri helikopter itu terbenam 0.5 meter (20 inci) ke dalam tanah lembap ketika mendarat.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan helikopter itu condong 13 darjah ke arah kiri, sekali gus memungkinkan sirip penstabil sebelah kiri dan penstabil menegak disyaki rosak akibat mencecah tanah.

“Helikopter berkenaan mempunyai dua sirip pengimbang iaitu kanan dan kiri yang terletak di ekor pesawat. Ketika mendarat mungkin bahagian ekor bawah iaitu sirip penstabil sebelah kiri dan sirip penstabil menegak disyaki mengalami kerosakan.

“Terdapat juga kesan kebocoran cecair berlebihan dalam lubang roda pendaratan kiri serta di atas rumput apabila juruterbang menaikkan semula helikopter,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Pengarah Operasi DCA yang juga ketua siasatan nahas, Datuk Yahaya Abdul Rahman.

Katanya, selepas menurunkan seorang penumpang di lokasi terakhir itu, rekod audio yang diperoleh menunjukkan juruterbang turut melahirkan kebimbangan terhadap kebocoran cecair hidraulik itu, namun tiada sebarang panggilan kecemasan dibuat kepada Kawalan Trafik Udara (ATC).

Liow berkata, siasatan mendapati, juruterbang pesawat tidak membuat sebarang panggilan kecemasan kepada ATC dalam tempoh antara 4.31 petang hingga 4.52 petang sebelum helikopter lain yang berada berdekatan membuat panggilan radio ke ATC dan menyatakan helikopter malang itu membuat penurunan curam dan terhempas.

Menurutnya, laporan siasatan awal ini menunjukkan pihaknya tidak menemui sebarang kecuaian sesiapa, sebaliknya kemungkinan kegagalan mekanikal pesawat.

“Laporan awal itu menceritakan apa sebenarnya yang berlaku sepanjang perjalanan pesawat berkenaan dari Kuantan, Pekan dan Muadzam Shah, Pahang.

“Buat masa ini, sirip penstabil kiri pesawat masih belum ditemui, malah kami meminta penduduk Kampung Sungai Pening-Pening, Semenyih, Selangor menghubungi kementerian dengan segera sekiranya menemui sirip penstabil berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Yahya berkata, siasatan mendapati, kemungkinan sirip penstabil kiri helikopter tertanggal daripada pesawat beberapa saat menyebabkan helikopter berkenaan terjunam.

Menurutnya, sehingga kini, pasukan penyiasat masih gagal menemui serpihan berkenaan, malah penemuan sirip penstabil itu penting bagi menentukan sama ada ia rosak akibat hentakan awal ketika mendarat di padang sekolah atau kegagalan mekanikal lain.

Ditanya mengenai kebocoran cecair daripada lubang roda pendaratan pesawat, Yahya berkata, kebocoran itu tidak memberi kesan kepada aspek pengawalan pesawat dan tidak menjurus kepada nahas berkenaan.

Nahas helikopter berkenaan turut mengorbankan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter Clifford Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang. Helikopter yang membawa Jamaluddin dan lima lagi mangsa jatuh terhempas di sebuah kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening-Pening, Semenyih jam 4.55 petang 4 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 9:47 AM