MOKHTAR (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan membabitkan sindiket dadah.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Usia baru mencecah awal 30-an, namun seorang ‘jutawan dadah’ sudah mampu memiliki koleksi 18 kereta mewah bernilai lebih RM2.1 juta hasil kegiatan jenayah dilakukan.

Suspek dikesan turut menggaji 16 individu lain termasuk lelaki warga Bangladesh untuk membungkus serta mengedar pelbagai jenis dadah diseludup dari China.

Suspek bersama 16 individu lain bagaimanapun ditahan dalam serbuan dijalankan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selasa lalu.

Serbuan jam 4.40 petang itu dilakukan di 11 lokasi sekitar Lembah Klang membabitkan Kepong, Cheras dan Petaling Jaya serta di Pulau Pinang hasil maklumat dan kerjasama Biro Kawalan Narkotik Kementerian Keselamatan Awam dan Biro Narkotik Polis Hong Kong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, selain dalang sindiket dadah antarabangsa itu, polis turut menahan seorang wanita berusia 27 tahun dan dua lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah yang dijadikan stor pembungkusan dadah.

“Hasil serbuan itu, polis menemui 370 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM51 juta. Polis turut merampas 18 kenderaan mewah, wang tunai RM129,000 dan barang kemas serta jam berjenama bernilai RM40,000,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

“Semua yang ditahan berusia antara 24 hingga 57 tahun. Seramai 15 suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 19 Mei mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua lagi ditahan mengikut Akta Imigresen bagi siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:22 AM