Tanah Merah: Tindakan tegas diambil terhadap pesalah trafik yang memiliki tiga waran tangkap menerusi Ops Warta adalah mengikut peraturan dan undang-undang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, masyarakat sudah diberi banyak ruang untuk melunaskan saman tertunggak sebelum ini.

“Tindakan untuk (menangkap) adalah mengikut undang-undang dan peraturan. Saya rasa kami sudah beri banyak peluang termasuk memberi penangguhan.

“Tapi, orang kita ni manja sangat (minta tangguh dan sebagainya). Sekarang kami akan kuatkuasakan apa yang kami cakapkan,” katanya dalam sidang media pada Program Community Policing di Kampung Rambai Lama, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis trafik tidak akan ‘beri muka’ terhadap pesalah trafik di seluruh negara, malah giat mengesan individu yang mempunyai kesalahan trafik dan saman membabitkan 1.59 juta waran tangkap.

Susulan itu, polis melancarkan Ops Warta secara besar-besaran bagi mengesan pesalah trafik bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 7:53 AM