NORASHIKIN bersama lima anak yang tiga daripadanya OKU.
Oleh Mohd Amin Jalil

Senawang: Meskipun menghadapi kesempitan hidup, seorang ibu tabah menjaga dan membesarkan tiga anak orang kurang upaya (OKU) sejak 12 tahun lalu.

Norashikin Hamzah, 39, mempunyai lima anak, namun tiga daripadanya OKU iaitu bisu, lembam dan masalah saraf yang memerlukan penjagaan rapi serta rawatan berterusan.

“Anak adalah amanah daripada Allah SWT. Walaupun mereka tidak sempurna pada pandangan mata, dalam hati saya, mereka mempunyai keistimewaan sendiri. Sebagai ibu, layanan saya kepada anak sama rata.

“Syukur Alhamdulillah, setakat ini mereka tiada masalah lain. Tetapi saya perlu memantau setiap masa bagi mengelak mereka terjatuh dan boleh menjejaskan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Tiga anaknya yang cacat ialah Muhammad Zul Hairul Hafiz Muhammad, 14, Muhammad Saifuldin, 12, dan Muhammad Arif, 5, manakala dua lagi normal iaitu Siti Khadijah, 7, dan Nurizara Aishah, tujuh bulan.

Norashikin yang juga suri rumah dan menetap di Taman Lily di sini, berkata, tiga anaknya itu diserang demam panas berpanjangan ketika masing-masing berusia setahun.

Menurutnya, selain tidak boleh bercakap, mereka juga tidak boleh berdiri dan hanya merangkak menyebabkan dia perlu menggunakan bahasa tubuh setiap kali berkomunikasi dengan ketiga-tiga anaknya itu.

Dia dan suaminya, Muhammad Zulkilfi Ali, 42, sentiasa memastikan ketiga-tiga anaknya dijaga rapi termasuk keperluan makanan kerana mereka mudah sakit terutama Muhammad Arif.

“Muhammad Arif memerlukan penjagaan lebih rapi dan perhatian sepenuh masa. Dia kerap demam panas yang kritikal dan memerlukan saya berkorban masa dan tenaga, malah tiga bulan sekali dia perlu dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ),” katanya.

Katanya, masalah kewangan keluarga yang hanya bergantung gaji suaminya RM2,000 sebulan menyebabkan keperluan ketiga-tiga anaknya itu terhad termasuk mendapatkan susu khas.

“Saya bersyukur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan RM450 sebulan bagi meringankan beban kami. Kami berbelanja RM1,500 sebulan bagi keperluan tiga anak kami itu termasuk lampin pakai buang dan susu.

“Doktor pakar menyuruh saya memberi mereka susu khas dan ubat saraf tetapi harganya mahal menyebabkan saya tidak mampu menyediakannya. Biarpun berdepan pelbagai dugaan, saya menganggap itu cabaran dan ada hikmah di sebaliknya,” katanya berharap ada sinar buat mereka merasai kehidupan normal seperti insan lain.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Norashikin di talian 017-2093208 atau 012-9129284.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 8:02 AM