Anita Sarawak
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon era 80-an, Noorkumalasari, 59, mengesahkan kakaknya yang juga penyanyi popular Anita Sarawak, 63, sudah bersara daripada bidang nyanyian kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan hartanah.

Noorkumalasari berkata, perkara itu dimaklumkan Anita kepadanya ketika penyanyi yang bermastautin di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) itu menghubunginya, Mac lalu.

“Ketika itu saya memberitahunya ada pihak mahu membuat tawaran mengadakan persembahan, tetapi dia memaklumkan sudah tidak menyanyi. Saya terkejut dan bertanya sekali lagi untuk mengesahkan perkara itu, dia menjawab memang betul dan dia gembira dengan apa yang dilakukannya sekarang (berniaga),” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Menurut Noorkumalasari, Anita menjalankan perniagaan itu bersama suaminya, Mahathir di Las Vegas.

“Kebiasaannya dia (Anita) yang akan hubungi saya kerana ia lebih mudah. Dia juga memaklumkan belum mahu pulang ke Malaysia dan Singapura kerana sibuk dengan urusan perniagaan itu,” katanya.

Ditanya mengenai spekulasi mengatakan Anita dan suaminya sudah bercerai dan kakaknya itu sudah bertudung, Noorkumalasari menafikannya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 9:23 AM