X
Oleh Syahril Azam Sulaiman

Shah Alam: Tertekan dengan keberkesanan Ops Warta menyebabkan 951 pesalah trafik dari 15 daerah di Selangor tampil secara sukarela ke balai trafik berhampiran untuk menjelaskan saman tertunggak.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, beliau memuji tindakan dilakukan mereka yang menyerah diri di balai polis tanpa menunggu waran tangkap.

“Saya difahamkan kebanyakan mereka berasa tertekan melalui operasi yang dijalankan secara berterusan sejak minggu lalu.

“Pihak polis lebih suka jika pesalah ini menyerah diri dan bukannya kita mencari serta menahan mereka di sekatan jalan raya atau melalui serbuan premis,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok sempena Shah Alam Trees For Life, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, mengambil contoh kes baru-baru ini, seorang pemuda berusia 21 tahun yang menunggang motosikal dengan cukai jalan tamat tempoh melarikan diri dan ketika membuat pusingan U, sebuah kenderaan merempuhnya sehingga maut.

“Bagi saya, ini bukan satu tindakan bijak dan jangan kerana mengelak membayar kompaun dan sekatan jalan raya menyebabkan nyawa melayang,” katanya.

Kata Abdul Rahim, sehingga kelmarin, sebanyak 19 sekatan jalan raya dilakukan dan 17 pemeriksaan dari pintu ke pintu dijalankan di negeri ini.

“Melalui sekatan jalan raya,941 pemilik kenderaan dan 28 premis diperiksa.

“Hasil pemeriksaan itu, 191 pesalah trafik ditahan ketika sekatan jalan raya dan diberikan waran tangkap,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kutipan trafik, Abdul Rahim berkata, beliau dimaklumkan hanya RM3 juta daripada RM15 juta nilai saman tertunggak sudah dikutip.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:20 AM