X
 NUR Jazlan (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat PAC Penggal Kedua di Bangunan Parlimen, semalam.
NUR Jazlan (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat PAC Penggal Kedua di Bangunan Parlimen, semalam.

Kuala Lumpur: Pengurusan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) diminta bersedia dengan maklumat dan dokumen lengkap sebelum mengadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, prosiding pada hari ini (semalam) terpaksa ditangguhkan selepas pihaknya dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEOnya Datuk Shahrul Ibrahim Halmi gagal hadir pada prosiding siasatan itu kerana mempunyai urusan di luar negara.

“PAC yang bermesyuarat hari ini (semalam) bersetuju dengan penangguhan berkenaan dan memberi masa kepada pengurusan 1MDB khususnya Arul untuk bersedia dengan semua maklumat serta dokumen sebelum hadir di hadapan jawatankuasa ini.

“Tiada tempoh masa tapi kami minta secepat mungkin kedua-duanya hadir kepada jawatankuasa ini.

“PAC mahu prosiding siasatan ini berjalan teratur serta mempunyai kredibiliti selain tidak dipersoalkan sekiranya penjelasan dan maklumat yang diberikan tidak atau kurang lengkap,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, semalam.

Prosiding siasatan pertama mengenai 1MDB oleh PAC bermula minggu lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Yusoff dipanggil memberi penjelasan.

Nur Jazlan menegaskan, penangguhan itu tidak bermakna prosiding itu dilewatkan dan beliau akan menghantar semula surat panggilan secara rasmi kepada Kementerian Kewangan selaku pengawal terhadap 1MDB untuk hadir semula meneruskan prosiding siasatan di hadapan mereka.

Katanya, PAC mahu rakyat terutama sekali pengamal media sosial supaya menghentikan segala spekulasi dan tohmahan terhadap kredibiliti jawatankuasa terbabit.

“Perlu diingatkan PAC Parlimen adalah jawatankuasa bipartisan sebagai cabang legislatif dalam pengasingan kuasa Sistem Demokrasi Raja Berpelembagaan. PAC tiada kuasa menjatuhkan hukuman dan segala syor serta cadangan dalam prosiding siasatan termasuk kes 1MDB ini akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat.

Nurjazlan berkata, terpulang kepada kerajaan untuk mengambil tindakan dan iktibar daripada laporan PAC dengan menjalankan siasatan lebih terperinci termasuk mengambil tindakan undang-undang melalui agensi penguat kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 5:43 AM
Digital NSTP Subscribe