MOHD Mokhtar menunjukkan dadah yang dirampas.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Sindiket dadah tempatan sanggup mendatangkan khas ‘saintis dadah’ dari India dan Sri Lanka ke negara ini diupah memasak syabu dan ecstasy bernilai jutaan ringgit

Tiga suspek warga asing itu dikesan memiliki pengetahuan mendalam merumus serta mengadun pelbagai campuran kimia untuk menghasil dadah sintetik bermutu tinggi.

Bagaimanapun aktiviti sindiket dianggotai lima warga tempatan termasuk seorang wanita itu terbongkar selepas makmal dadah dan stor penyimpanan bahan kimia menghasilkan dadah itu diserbu polis di Sepang, Selangor.

Serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dalam serbuan Jumaat dan Sabtu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis menahan tiga warga asing membabitkan dua warga Sri Lanka dan seorang warga India selain lima suspek warga tempatan berusia 29 hingga 43 tahun.

Menurutnya, polis merampas syabu dan pil ecstasy dianggarkan bernilai RM10 juta.

“Semua suspek ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di Wangsa Maju, Seri Kembangan, Damansara dan Sepang, Selangor.

”Polis membongkar satu makmal dadah sintetik dan stor penyimpanan bahan kimia di sebuah rumah teres setingkat. Turut ditemui syabu seberat 34.76 kilogram bersama 18,651 pil ecstasy dirampas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket itu membawa masuk bahan kimia menghasilkan dadah itu dari India.

“Polis menyita wang tunai, barangan kemas dan kenderaan mewah model BMW milik anggota sindiket itu dianggarkan RM195,550.

“Tiga suspek warga asing terbabit adalah pakar dalam menghasilkan dadah sintetik dan bekerjasama dengan sindiket dadah tempatan sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan mendapati sindiket dadah itu cuba memasarkan dadah yang siap diproses ke Indonesia dan tempatan.

Semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 29 Mei ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 6:10 AM