ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Bahau: Tiga anggota tentera dari Rejimen ke-31 Artileri Diraja Pangkalan Udara Kuala Lumpur maut manakala dua wanita parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh, berhampiran Kampung Kuala Jempol, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa Mohd Izwan Azizan, 31, Mohd Shahrulnizam Saad, 35, dan Mohd Mostakim Abd Majid, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Dua lagi wanita, Nurhidayah Mat Nor, 23, dan Maizatul Natasha Hamdan, 22, cedera parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban serta dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, kereta Proton Saga BLM dinaiki kelima-lima mangsa itu dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan pembetung saluran paip Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Adik Mohd Izwan, Nur Hasmiza, 28, berkata, dia menerima berita kemalangan itu daripada kakak iparnya yang juga isteri arwah, pagi semalam sebelum bergegas ke Bilik Mayat Hospital Jempol untuk pengesahan.

Menurutnya, dia datang ke hospital bersama kakak ipar yang juga seorang kakitangan kerajaan di Putrajaya, ibu dan seorang kakaknya.

“Arwah abang anak sulung daripada tiga beradik. Abang sering pulang ke kampung berjumpa ibu, tetapi baru-baru ini abang ada menghubungi ibu memberitahu dia tidak dapat pulang kerana perlu mengikuti latihan ketenteraan,” katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital berkenaan.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa arwah abangnya itu pada awal Januari lalu ketika arwah pulang ke kampung di Segamat, Johor bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil.

Sementara itu, rakan baik Nurhidayah, Mohd Arif Mazlan, 23, berkata, dia terkejut mendapat berita kemalangan membabitkan Nurhidayah.

Mohd Arif yang juga peniaga sate berkata, dia mengenali Nurhidayah lebih tiga tahun lalu ketika wanita terbabit mula bekerja di restoran milik abang iparnya di Pekan Bahau di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:25 AM