Padang Besar: Hanya empat anggota polis ditahan daripada jumlah keseluruhan 14 orang bagi tujuan siasatan berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk pemerdagangan manusia di negara ini, setakat ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan kenyataannya berkenaan jumlah tangkapan suspek kegiatan penyeludupan termasuk pemerdagangan manusia di lobi Parlimen, kelmarin turut membabitkan tangkapan tahun lalu.

“Hanya 12 tangkapan itu dilakukan tahun lalu manakala tambahan dua lagi tangkapan berlaku pada tahun ini dan daripada jumlah itu hanya empat membabitkan anggota polis,” katanya ketika melakukan lawatan ‘Op Wawasan Khas’ di Markas Taktikal (MARTEK) Pasukan Gerakan Am (PGA) di Wang Kelian, di sini, semalam.

Katanya, tangkapan terbaru membabitkan dua anggota polis sebulan lalu adalah untuk siasatan berkaitan penemuan kubur dan kem kurungan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Wang Kelian, minggu lalu.

“Dua lagi anggota polis yang ditahan pada tahun lalu pula adalah untuk tujuan penyiasatan berkaitan kes penyeludupan membabitkan barangan di sempadan,” katanya.

Sehingga Rabu lalu, empat mayat sudah dibawa turun dari kawasan perkuburan PATI di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Tiga daripadanya menerusi kerja penggalian semula yang dilakukan oleh anggota forensik polis serta dibantu Jabatan Kesihatan Perlis dan anggota PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 10:00 AM