SEBAHAGIAN daripada sembilan mayat dibawa turun oleh anggota Unit Forensik di Bukit Wang Burma, malam tadi.
SEBAHAGIAN daripada sembilan mayat dibawa turun oleh anggota Unit Forensik di Bukit Wang Burma, malam tadi.
Oleh Aizat Sharif
[email protected]iaprima.com.my

Padang Besar: Tiada tanda kubur pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditemui di sekitar Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sini, berbentuk kubur besar (mass grave).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mengikut istilah mass grave, ia adalah kubur banyak mayat diletakkan dalam satu liang manakala berdasarkan operasi penggalian semasa, kubur yang berada di kawasan itu lebih berbentuk kubur biasa.

“Mengikut apa yang kita lihat setakat ini, tidak wujudnya kubur besar di kawasan itu manakala 139 kubur yang ditemui di situ rata-ratanya seperti kubur biasa yang mana setiap liang hanya diisi dengan satu jenazah,” katanya kepada pemberita ketika melawat Markas Op Wawasan Khas di Markas Taktikal (MARTEK) Pasukan Gerakan Am (PGA) Wang Kelian, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Shafie Ismail.

Katanya, selepas operasi penggalian empat kubur dilakukan sejak Selasa lalu, pihaknya membuat kesimpulan awal tidak wujud sebarang kubur besar di sekitar kawasan itu.

“Kami juga melihat keadaan persekitaran di kawasan perkuburan itu termasuk struktur tanah dan kayu yang digunakan sebagai penanda kubur dan mayat yang ditanam di kubur itu,” katanya.

Wan Junaidi berkata, masalah yang wujud ketika ini adalah bagaimana untuk membawa turun semua mayat dari kawasan itu dengan menggunakan kaedah selamat dan menjimatkan masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 10:03 AM