Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Sindiket menjual beg tangan berjenama tiruan sanggup mengeluarkan modal besar dengan memasang berpuluh kamera litar tertutup (CCTV) selain turut mengupah tonto dan samseng untuk menggagalkan operasi pihak berkuasa.

Taktik itu bagaimanapun gagal menghalang sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu dua premis yang dikesan menjadi gudang menyimpan beratus beg tangan tiruan di Jalan Petaling di sini.

Dalam serbuan jam 1 petang semalam, dua premis menjual pelbagai barangan tiruan jenama terkenal dibongkar pihak KPDNKK Kuala Lumpur yang melakukan intipan sejak seminggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, antara beg tangan tiruan yang berjaya dirampas menggunakan jenama terkenal Louis Vuitton, Prada, Channel dan Gucci.

Menurutnya, serbuan dilakukan berdasarkan aduan pemilik cap dagang berhubung kegiatan penipuan terhadap pelancong asing oleh sindiket itu.

“Hasil serbuan itu, pihak kami berjaya merampas sebanyak 475 unit beg tangan, tali pinggang dan dompet jenama berkenaan.

“Pemilik dan pekerja premis turut diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, nilai rampas keseluruhan dianggarkan berjumlah RM83,300 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Sehubungan dengan itu Rosli menyarankan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli barangan berjenama yang dikhuatiri palsu.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghubungi mana-mana pejabat KPDNKK untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 6:34 AM