Rashidi mencanting batik ketika melawat gerai jualan selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Homestay Selangor 2015 di I-City, Shah Alam.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menjangkakan peningkatan 10 peratus pelancong yang bakal menginap di inap desa (homestay) di seluruh negara tahun ini berbanding 347,000 pelancong tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiausahanya Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pihaknya yakin jumlah itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa yang memberangsangkan.

“Selain mengadakan Festival Homestay Selangor, kami juga mempromosikan inap desa yang terdapat di negara ini di luar negara iaitu di Jepun dan Singapura pada Mei lalu.

“Sehingga Jun tahun ini, sambutan pelancong dari dalam dan luar negara begitu menggalakkan, malah kementerian mengadakan promosi sekali lagi ke Jepun pada bulan September kelak,” katanya sejurus merasmikan Festival Homestay Selangor 2015, di Taman Tema i-City, di sini.

Sebanyak 14 inap desa di Selangor dan 12 persatuan inap desa negeri seluruh negara menyertai festival yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lalu yang mampu mempromosikan produk inap desa selain industri kraftangan tradisional dan jualan produk industri kecil dan sederhana.

Menurut Rashidi, pihaknya juga menyasarkan pendapatan daripada pakej inap desa ini sebanyak RM25.5juta bagi tahun 2015 berbanding RM23.4 juta pada 2014.

“Ketika ini kementerian menggalakkan pelancong menginap di inap desa di seluruh negara selain turut mempromosikan inap desa keretapi (homestay railway) yang diperkenalkan sejak 2011.

“Terdapat 22 inap desa di negara ini yang berhampiran stesen keretapi di jajaran Semenanjung Malaysia dari Singapura ke Utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pelancong daripada Jepun memberi reaksi positif berhubung keunikan inap desa di negara ini dan pengusaha pelancongan di sana sangat berminat menjadikan inap desa sebagai pakej pelancongan kepada warga negara mereka.

Sementara itu, pengusaha Homestay Bougenvilla di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Ruslan Ahmad berkata, penganjuran festival dan promosi daripada pihak kementerian memberi kesan positif kepada inap desa yang diusahakannya sejak 2003

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 7:54 AM