Muhyiddin beramah mesra dengan murid Sekolah Rendah Medini Nusajaya pada Majlis Graduasi Program English Literacy dan majlis menandatangani Perjanjian Pengambilan Sekolah-Sekolah Angkat Pintar di Mercu UEM, semalam.
Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Kerjasama awam dan swasta dalam penambahbaikan sistem pendidikan sedia ada perlu diperluaskan untuk membantu mewujudkan kesamarataan akses terhadap pendidikan khasnya bagi golongan datang daripada latar belakang terpinggir.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengalu-alukan usaha sektor swasta yang memiliki kepakaran serta dana untuk tampil ke depan dalam membantu mencorak serta meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Dalam era globalisasi, penguasaan bahasa Inggeris seringkali disentuh dan tidak boleh diketepikan, malah ia menjadikan generasi muda kita lebih berdaya saing.

“Pelaksanaan program ‘English Literacy’ tajaan UEM Group Berhad bersama PINTAR Foundation dan dibantu British Council sejak tiga tahun lalu membolehkan murid berinteraktif di dalam kelas ketika sesi mata pelajaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan Majlis Graduasi Program English Literacy tajaan UEM Group Berhad dan majlis menandatangani Perjanjian Pengambilan Sekolah-Sekolah Angkat Pintar oleh Kumpulan UEM Group di Mercu UEM di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching, Pengerusi UEM Group Berhad Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group Datuk Izzaddin Idris dan Pengerusi PINTAR Foundation Tan Sri Arshad Ayub.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan Ahmad Tajuddin sebagai penasihat Menteri Pendidikan bagi sekolah berprestasi tinggi dan sekolah kecemerlangan kluster.

Menurut Muhyiddin, program English Literacy berkenaan turut memberi kebaikan kepada guru apabila melaluinya, 116 guru diterapkan dengan kemahiran serta pengetahuahn diperlukan untuk melaksanakan proses pengajaran juga pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.

“Sekurang-kurangnya, 75 peratus daripada keseluruhan program diadakan mencapai band 4 dan band 5 dalam Indeks Pembangunan Guru.

“Ia bermaksud, guru berkenaan menguasai kemahiran mengajar yang menepati atau melangkaui Standard Pegagogi Pengajaran Bahasa Inggeris yang ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, murid pula lebih berinteraktif semasa belajar bahasa Inggeris iaitu 10 peratus lebih tinggi daripada sebelum program dijalankan tiga tahun lalu.

Muhyiddin berkata, keputusan bagi Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) bahasa Inggersi bagi 2013 dan 2014 juga menunjukkan pemahaman murid meningkat sembilan peratus bagi kohort sama.

“Pada masa sama, saya turut mengalu-alukan keputusan UEM Group Berhad dan anak syarikatnya bagi mengambil 18 sekolah angkat PINTAR tambahan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 39 sekolah.

“Saya harap jumlahnya dipertingkatkan kepada 100 sekolah kerana program ini menunjukkan kejayaan. Saya juga berharap inisiatif ini memberi pulangan bermanfaat kepada generasi muda kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 9:34 AM