MANGSA dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalthom, Kluang untuk rawatan lanjut.
Oleh Arifin Salleh

Kluang: Seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal pengsan selepas terjatuh ketika membuat latihan pendakian gunung kira-kira 400 meter menghampiri puncak Gunung Lambak, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, kejadian jam 9 pagi itu, ketika mangsa, Mohd Safuan Mohd Fadzhil, 25, dari Unit 1 Skuadron Jurutera sebuah kem tentera di Taiping, Perak sedang menjalani kursus kenaikan pangkat di sebuah kem tentera, di sini.

Sumber berkata, mangsa bersama 30 pelatih dari unit berlainan dipercayai baru seminggu melaporkan diri di kem itu untuk menjalani kursus berkenaan selama tiga bulan sebelum rebah ketika menjalani latihan.

“Difahamkan, mangsa sihat ketika melaporkan diri ke kem berkenaan seminggu lalu dan tidak mempunyai sebarang penyakit berdasarkan rekod perubatan.

“Sebelum kejadian, mangsa bersemangat hendak mendaki gunung bersama pelatih lain dalam pelatun selepas dimaklumkan jurulatih bertugas mengenai aktiviti kursus yang perlu dilalui pagi ini (semalam),” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika berada pada aras 1,000 meter, mangsa tergelincir ketika melalui laluan bercuram dan tidak sedarkan diri beberapa minit.

Katanya, beberapa pelatih memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kepada jurulatih bertugas.

Sumber itu berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menurunkan mangsa yang memiliki berat hampir 100 kilogram (kg), namun gagal sebelum meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat membawa mangsa turun ke bawah.

Komander Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sedek yang mengetuai operasi itu berkata, pihaknya menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) pada jam 9.11 pagi.

“Seramai 12 pegawai dan anggota bergerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat membabitkan seorang anggota tentera yang rebah dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan ketenteraan di atas gunung berkenaan.

“Mangsa dikatakan bertubuh besar dan sukar diturunkan ke bawah melalui jalan curam menyebabkan kami naik ke tempat kejadian menggunakan pacuan empat roda melalui trek disediakan,” katanya.

Katanya, anggotanya berdepan cabaran berikutan sebatang pokok tumbang merintangi laluan ke lokasi mangsa, namun dapat diatasi.

Akob berkata, mangsa dipercayai rebah di laluan curam dan tidak sedarkan diri ketika mendaki gunung berkenaan bersama 30 pelatih lain pada jarak ketinggian 1,000 meter iaitu 400 meter dari puncak Gunung Lambak.

“Mangsa dibawa turun oleh anggota bomba dan penyelamat menggunakan alat pengusung khas sebelum diserahkan kepada petugas perubatan dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalthom Kluang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 6:41 AM