Othman (dua dari kiri) berbincang dengan imam dan ahli jawatankuasa masjid.
Oleh Aizat Sharif

Padang Besar: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bakal menjadikan daerah Beseri, di sini, sebagai lokasi bagi meraikan anak yatim dan mangsa banjir yang kurang bernasib baik sempena kedatangan Ramadan tahun ini.

Masjid Jamek Beseri yang akan menjadi tuan rumah program TKHM pada 4 dan 5 Julai ini dijangka dihadiri 500 orang anak kariah masjid terbabit.

Pengerusi TKHM yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat sempat meluangkan masa bertemu dengan beberapa ahli jawatankuasa masjid itu yang turut dihadiri Imam, Kamaruddin Ismail, kelmarin, bagi membincangkan persiapan program yang akan dilaksanakan.

Othman berkata, pemilihan lokasi terbabit adalah disebabkan kejadian banjir yang pernah berlaku di sekitar kampung berhampiran masjid itu pada akhir tahun lalu.

“Kami mengambil kira kejadian bencana alam yang berlaku di beberapa kampung berhampiran masjid ini pada akhir tahun lalu dan kami sangat bersimpati dengan nasib menimpa mereka.

“Oleh hal demikian, kami bersepakat untuk mengadakan TKHM bagi menyampaikan sumbangan kepada orang kampung yang terjejas dan juga golongan fakir miskin serta anak yatim di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan dengan jawatankuasa masjid, kelmarin.

Beliau berkata, program TKHM pada kali ini agak bermakna apabila Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akasha Khalil sudi mencemar duli untuk bersama-sama terbabit dalam program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 9:23 AM