SSPN-i Plus satu tabungan untuk dividen masa depan dengan pelaburan yang murah dan dijamin kerajaan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Plus iaitu pelan simpanan pendidikan menawarkan perlindungan takaful yang dalam kemampuan dan komprehensif.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, produk baru itu akan memberi pelbagai keistimewaan serta tidak membebankan selain memberi pelbagai manfaat kepada pendepositnya.

“Saya difahamkan SSPN-i Plus menawarkan pelan simpanan pendidikan dengan pelbagai pilihan pakej perlindungan takaful serendah RM5 sebulan.

“Penyimpan skim itu juga bukan saja melabur untuk tujuan pendidikan, malah mendapat perlindungan takaful, dividen yang kompetitif serta pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 setahun serta patuh syariah,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian SSPN-i Plus, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Muhyiddin berkata, SSPN-i Plus satu tabungan untuk dividen masa depan dengan pelaburan yang murah dan dijamin kerajaan.

Beliau berkata, sejak SSPN-i diperkenalkan pada 2004, prestasi tabungan itu menggalakkan menerusi jumlah pembukaan akaun mencecah 2.2 juta dengan jumlah deposit RM1.7 bilion, sehingga 30 April lalu.

“Sehingga 30 April lalu, sejumlah 2.9 juta peminjam membabitkan peruntukan RM52 bilion menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN dan angka itu sememangnya meningkat setiap tahun selaras dengan pembangunan modal insan melalui pendidikan.

“Dalam konteks ini, hasrat PTPTN memastikan graduan masa depan mempunyai hutang minimum berikutan penabungan dilakukan lebih awal lagi.

“Pelbagai inisiatif difikirkan dan dilaksanakan dalam usaha memastikan tidak ada pelajar gagal melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi atas faktor kewangan,” katanya.

Menurutnya, beliau difahamkan terdapat beberapa agensi kerajaan dan swasta bersetuju memberikan sumbangan menerusi skim simpanan SSPN-i dan ia satu gambaran positif.

Katanya, menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan itu, generasi akan datang dilihat bebas daripada hutang dengan pendekatan menabung lebih awal bagi tujuan pendidikan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:03 AM