Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semalam menafikan ia membuat pinjaman RM2 bilion daripada AmanahRaya Bhd (AmanahRaya).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamy berkata, dakwaan anggota Parlimen pembangkang 1MDB membuat pinjaman RM2 bilion daripada AmanahRaya tidak benar.

Beliau menegaskan 1MDB tidak mempunyai urusan kewangan, termasuk meminjam dengan AmanahRaya.

Sementara itu, Pengerusi AmanahRaya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataannya turut menafikan wujud transaksi seperti didakwa antara kedua-dua pihak.

“AmanahRaya menegaskan laporan media itu tidak berasas dan berniat jahat. Kami menafikan AmanahRaya pernah meluluskan pinjaman kepada 1MDB.

“Kami menegaskan AmanahRaya sentiasa mematuhi tadbir urus yang ketat dalam semua urusan kami menerusi kelulusan jawatankuasa pelaburan dan lembaga pengarah,” katanya.

AmanahRaya berkata, ia memandang berat tuduhan tidak berasas dan berniat jahat terhadapnya dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi perniagaan serta reputasinya.

Kenyataan itu juga menafikan dakwaan Pengerusi AmanahRaya Dusuki Ahmad digantikan Reezal Merican disebabkan isu berkaitan dakwaan pinjaman itu.

Sementara itu, Arul Kanda dalam kenyataan berasingannya berkata, pihak berkuasa kewangan yang menyelia operasi 1MDB boleh memantau sama ada beliau menipu atau tidak, seperti didakwa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, beliau secara profesional bertanggungjawab kepada lembaga pengarah 1MDB dan pemegang saham di Kementerian Kewangan.

“Dalam konteks sekarang, ia termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Ini pihak berkuasa yang sah untuk menentukan sama ada saya pernah berbohong, seperti didakwa, kerana mereka ada akses kepada semua maklumat,” katanya yang menjawab tuduhan Dr Mahathir bahawa Arul acap kali berbohong berkenaan operasi 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 10:38 AM