Seorang pemilik ladang terperanjat menemui mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ketika meninjau ladang sawitnya di Ladang Kelapa Sawit Mancis, lima kilometer dari Balai Polis Mancis, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, lelaki itu menemui mayat tidak berpakaian itu ditutup pelepah sawit sebelum melaporkan kejadian itu kepada anggota polis di Balai Polis Mancis.

Beliau berkata, susulan itu, polis yang menjalankan pemeriksaan menjumpai mayat terbabit tertiarap.

“Kami mendapati ada kesan kecederaan teruk di kepala mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

“Selain itu, ada kesan melecur pada keseluruhan tubuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong, di sini, untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian lelaki itu.

“Setakat ini, kami tidak menemui objek atau senjata. Identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

“Jarak mangsa ditemui dengan jalan utama ke ladang itu 150 meter. Kami juga tidak menerima sebarang laporan pergaduhan atau kegiatan mencurigakan di kawasan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 11:10 AM