PENGUAT KUASA kesihatan memeriksa tayar yang ditabur dengan pasir.
PENGUAT KUASA kesihatan memeriksa tayar yang ditabur dengan pasir.
Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: Panik selepas premisnya didatangi penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri, seorang pemilik kedai tayar menabur pasir ke dalam takungan air di dalam tayar disyaki menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Dalam Op Wabak Aedes, di Taman Teknologi Cheng, di sini, semalam, tindakan tergesa-gesa lelaki 40-an itu hanya menarik perhatian pegawai penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan rapi terhadap longgokan tayar di premis itu.

Pemeriksaan dilakukan terhadap longgokan tayar di premis itu menemui jentik-jentik dalam takungan air yang ditabur pasir, sekali gus membongkar taktik lelaki itu yang mahu mengelak dikompaun.

Hasil pemeriksaan dua jam bermula 10.30 pagi, pemilik kedai tayar berkenaan antara 14 individu dikenakan kompaun RM500 selepas premis mereka disyaki menjadi sarang pembiakan aedes.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ghazali Othman berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 22 lokasi menjadi sarang pembiakan aedes dan mengeluarkan 14 kompaun berjumlah RM7,000.

Beliau berkata, secara keseluruhan 242 kompaun bernilai RM121,000 dikeluarkan pihaknya terhadap pemilik premis hasil penguatkuasaan bagi mencegah dan mengawal wabak denggi bermula Januari hingga Mei lalu.

“Daripada jumlah itu, 109 kes dikesan di Melaka Tengah, Alor Gajah (83) dan Jasin (50). Sebanyak 20 kes didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan 9 kes daripadanya disabitkan kesalahan dan dikenakan denda RM5,050.

“Jumlah kes demam denggi di negeri ini secara keseluruhannya 833 kes bagi tempoh Januari hingga 6 Jun lalu dengan 816 kes demam denggi manakala 14 lagi demam denggi berdarah. Dalam tempoh sama, tiga kematian dicatatkan, dua di daerah Jasin dan seorang di daerah Melaka Tengah,” katanya.

Dr Ghazali berkata, jumlah kes denggi di negeri itu menunjukkan penurunan 21.42 peratus atau 247 kes berbanding 1,060 kes dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak minggu ke-17 tahun ini, kes demam denggi mula menunjukkan peningkatan kepada 64 kes berbanding 61 bagi tempoh yang sama tahun lalu dan pihaknya juga mengenal pasti dua lokasi pembiakan aedes yang masih aktif di sekitar negeri ini termasuk Taman Teknologi Cheng dan Jalan Johor, Semabok.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 49 kes direkodkan di kawasan Taman Teknologi Cheng selepas dikenal pasti sebagai kawasan wabak sejak 22 Mei lalu membabitkan warga asing yang bekerja dan tinggal di situ.

Beliau berkata, punca utama dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kes di kawasan itu adalah pembuangan sampah tidak sempurna di kawasan lorong belakang premis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 11:14 AM