ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Noor

Nilai: Seorang ahli perniagaan barangan kosmetik maut terkena empat das tembakan dilepaskan seorang lelaki ketika mangsa berbual dengan rakannya di tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Nilai di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 34 tahun ditembak di bahagian dada dan perut oleh suspek yang memandu sebuah kereta mewah jenis Audi dari jarak kira-kira empat meter.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya berusia 50-an itu menghadiri jamuan makan malam yang diadakan di restoran berkenaan pada jam 7 malam dan ke tempat letak kereta untuk pulang ke rumahnya di Selangor sebaik majlis tamat.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa sedang berbual bersama rakannya sebelum sebuah kereta menghampiri mereka dan pemandunya secara tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek dikatakan melepaskan empat das tembakan mengenai badan mangsa sebelum melarikan diri. Rakan mangsa melihat mangsa rebah dan masih sedarkan diri lalu segera membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital ketika dalam perjalanan. Mayat mangsa kemudian diserahkan ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat kejadian ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan termasuk merakam percakapan rakan mangsa itu bagi mengesan suspek.

Katanya, pihaknya juga akan mengesan beberapa saksi lain yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Semakan awal mendapati, mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan jenayah kekerasan dan dadah. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mangsa dan suspek terbabit kumpulan kongsi gelap, Abdullah berkata, masih terlalu awal untuk memastikan perkara itu kerana siasatan lengkap dan tangkapan perlu dilakukan terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 8:34 AM