ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Seorang bapa hanya sempat meraikan kelahiran anak ketiganya selama beberapa hari apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 15 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) berdekatan susur Kuchai Lama, petang semalam.

Kemalangan jam 2 petang itu dipercayai berpunca akibat tayar kereta dipandu mangsa yang turut dinaiki dua anaknya berusia tiga dan empat tahun serta ibunya pecah sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya.

Akibatnya, mangsa, Lee Jein Siung, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak perempuannya, Lee Tung, yang berusia tiga tahun pula meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika menerima rawatan.

Berdasarkan seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, Lee sekeluarga dalam perjalanan dari Taman Salak Selatan menuju ke Kuchai Lama dipercayai untuk makan.

“Isteri Lee yang baru bersalin anak ketiga pula tidak mengikuti mereka kerana masih berpantang. Dia hanya sempat bergembira dengan cahaya mata barunya selama beberapa hari,” katanya.

Sementara itu, saksi di lokasi kejadian, Irwan Zahari, 30-an berkata, ketika kejadian dia berada di laluan bertentangan dan ternampak tayar kereta mangsa seperti pecah sebelum kereta itu terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Menurutnya, dia berpatah balik ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa bersama beberapa pengguna jalan raya lain.

“Ketika tiba di lokasi, saya mendapati pemandu kereta sudah meninggal dunia manakala bahagian enjin kereta itu sudah mula terbakar.

“Saya bersama beberapa pemandu lain mengeluarkan dua anak mangsa dan seorang warga emas dipercayai ibu pemandu itu sebelum dikejarkan ke PPUM dengan ambulans,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, kereta mangsa yang dalam perjalanan dari Bangsar ke Kuchai Lama terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di lokasi kejadian.

Katanya, akibat kejadian itu, besi penghadang jalan itu tertusuk ke dalam kereta hingga mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk selain ditusuk besi penghadang jalan.

“Mangsa maut di lokasi kejadian manakala anak mangsa yang berusia tiga tahun parah.

“Ibu mangsa dan seorang lagi anak yang berusia empat tahun pula cedera ringan dan semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan anak mangsa yang berusia tiga tahun itu meninggal dunia di PPUM akibat cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 9:05 AM