Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan memberi penekanan terhadap kemahiran penggunaan bahasa Inggeris sama daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat tinggi.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementerian menjalankan program melatih 22,500 guru bahasa Inggeris sehingga akhir tahun ini.

“Di sekolah, kita ada program untuk melatih guru ini bagi memastikan mereka mampu mengajar bahasa berkenaan dengan baik.

“Pada masa sama, ada 360 tenaga pengajar warga asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris turut mengajar 5,000 guru kita,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Menurut Idris, selain itu, ada 100 ‘English Teaching Asistant’ (ETA) ditempatkan di sekolah dan ia sebahagian daripada program pemerkasaan bahasa Inggeris yang masih berjalan.

Idris berkata, kementerian juga bertindak proaktif dengan melaksanakan ‘Cambridge Placement Test (CPT) terhadap guru bahasa Inggeris di seluruh negara.

“Kementerian menetapkan sasaran kefasihan guru bahasa Inggeris sehingga Band C1 (pengguna mahir/cekap),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 9:28 AM