PENDUDUK bersama ikan yang diperoleh Tahir.
Oleh Norsyazwani Nasri

Igan: Kedatangan Ramadan membawa tuah kepada nelayan Tahir Sebawi, 43, dari Kampung Saai, di sini, apabila berjaya menangkap 58 ekor ikan panjang di Sungai Batang Lassa, di sini, semalam.

Tahir berkata, buat kali pertama dalam hidupnya dia berjaya menangkap ikan panjang sebanyak itu yang beratnya mencecah sehingga lebih 500 kilogram.

“Saya tidak menang tangan menarik ikan panjang yang tersangkut di jaring (semalam), saya tidak menyangka mampu meraih rezeki sebanyak itu.

“Belum pernah lagi dalam sejarah nelayan di sini yang berjaya menaikkan ikan panjang sebanyak itu. Saya sangat bersyukur dengan tangkapan ini,” katanya.

Menurut Tahir, selepas bersara sebagai tentera bersama Tentera Udara Diraja Malaysia, dia memilih untuk menyara hidup keluarga sebagai nelayan di kampung halamannya itu.

“Selepas bergelar nelayan, ini pengalaman pertama saya dapat meraih ikan dalam kuantiti yang banyak. Ia pengalaman paling manis dalam hidup saya.

“Ikan panjang yang berjaya saya tangkap itu cukup banyak, tidak pernah berlaku di kampung ini. Mungkin ini rezeki Ramadan yang diberikan oleh Allah kepada saya tahun ini,” katanya.

Katanya, hasil tangkapan itu dijual dengan harga RM5 sekilogram kepada penduduk kampung dan turut mendapat tempahan daripada penduduk di kampung berhampiran.

“Selebihnya saya jual di pasar Daerah Matu dan Daro. Selain kegunaan sempena Ramadan dan Aidilfitri nanti, hasil jualan ikan panjang itu saya gunakan untuk menampung perbelanjaan seharian keluarga dan anak ke sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:00 AM