Anggota penyelamat membawa turun mangsa yang tergelincir di air terjun Hutan Lipur Kanching, Templer Park.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Selayang: Malang menimpa seorang berusia lelaki 30-an apabila tergelincir dan terjatuh di air terjun Hutan Lipur Kanching, Templer Park, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa dalam perjalanan pulang bersama isteri dan rakannya sebelum terjatuh daripada ketinggian tiga meter ke dalam air hingga parah di kepala.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang Ramlee Che Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.20 tengah hari dan bergegas ke kawasan riadah itu.

Katanya, 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang dan Rawang menyertai operasi menyelamat mangsa.

“Difahamkan mangsa terjatuh dan menyebabkan parah di bahagian kepala, namun masih sedarkan diri.

“Mangsa dibawa turun anggota pada jam 1 petang semalam dengan dibantu pasukan paramedik Hospital Selayang,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Selayang, dekat sini, untuk menjalani pemeriksaan kecederaan di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 6:42 AM