Oleh Amran Yahya


Kuala Pilah: Sebuah tabung dikenali ‘The Mosque Of Seville’ dilancarkan kelmarin bagi membantu membina sebuah masjid di Seville, Sepanyol, bernilai RM38.2 juta.

Difahamkan terdapat seramai 25,000 penduduk Islam di Seville yang tidak berpeluang menunaikan solat di masjid yang sempurna seperti di Malaysia.

Setiausaha Sulit Kanan Yang Dipertua Dewan Negara Shamsul Bahari Shamsudin berkata, ilham penubuhan tabung itu muncul hasil lawatan kerja diketuai Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang bersama beberapa Senator di Seville, tahun lalu.

“Umat Islam di sana tidak pernah menunaikan solat di masjid sebaliknya bersembahyang di rumah atau surau saja.

“Atas faktor itu, kami terpanggil membantu melaksanakan misi membina masjid di negara berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan tabung berkenaan di Masjid Kariah Pelangai, di sini, malam kelmarin.

Shamsul Bahari berkata, Parlimen Kuala Pilah menjadi lokasi pertama pelancarannya dan tabung itu akan digerakkan ke seluruh negeri ini sepanjang Ramadan.

Pelancaran tabung berkenaan disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek.

Sementara itu, Ketua Projek Ibrahim Hernandez berkata, dia bersama rakan mengambil masa 20 tahun untuk membeli sebidang tanah di Seville bagi dijadikan tapak membina masjid.

“Kami membeli tanah dengan harga 9 juta Euro (RM38.2 juta) dan sudah dibina beberapa kelas pengajian Islam namun kami sedang mencari dana membina sebuah masjid pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:34 AM