MURUGAN di luar mahkamah, semalam.
MURUGAN di luar mahkamah, semalam.
Oleh Murni Wan Omar

Selayang: Tindakan seorang pemilik kedai runcit memiliki 1,990 peket rokok dan 888 minuman keras seludup mengakibatkan dia didenda RM33,128.20 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Nurliana Ismail mengenakan hukuman itu terhadap S Murugan, 40, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjarakan 12 bulan.

Tertuduh didakwa memiliki barang seludup iaitu 1,990 peket (39,800 batang) rokok putih dan 888 tin minuman keras pelbagai jenama yang ditaksir bernilai RM3,312.82 di Pasar Mini Abirammi, Garing Utama, Rawang, jam 7.45 petang, 17 Jun lalu.

Ia adalah barang yang dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012.

Bagi perbuatan itu, Murugan didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 membawa hukuman maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Jabatan Kastam Malaysia, Mohd Shafiq Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam S Muthuveeran.

Tertuduh membayar denda itu.

Terdahulu Mohd Shafiq memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia adalah kesalahan serius.

“Jumlah cukai terhadap semua barangan itu ialah RM24,345.65. Jika perbuatan seperti tertuduh tidak dibendung ia menyumbang kepada ketirisan hasil negara,” katanya.

Sementara itu, Murugan merayu hukuman denda minimum dikenakan kerana mendakwa mempunyai masalah kewangan dan kemungkinan kedainya akan dilelong.

Selain itu, Murugan juga mendakwa dia perlu menanggung keluarga kerana isterinya sarat mengandung selain mempunyai empat anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 8:09 AM