Mohd Mokhtar (kiri) bersama pegawai menunjukkan CCTV yang disorokkan dadah pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Sorok dadah syabu dalam 20 kamera litar tertutup (CCTV). Itu taktik digunakan sindiket dadah Afrika yang giat menyeludup masuk alatan itu ke Malaysia menggunakan khidmat kurier dari China.

Sindiket dadah didalangi seorang penuntut universiti swasta warga Ghana itu didapati berjaya mengaburi pihak berkuasa susulan penemuan dadah syabu di kediaman suspek di Bandar Damai Perdana, Kajang di sini, petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan dilakukan jam 1 petang kelmarin, sebelum polis menahan suspek dan menemui 1 kilogram (kg) syabu disembunyikan di dalam komponen CCTV itu.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 34 tahun itu diberkas sepasukan anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman yang mendapat maklumat berhubung kegiatan jenayah suspek.

Beliau berkata, hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Nigeria berusia 31 tahun di sebuah rumah di Kepong di sini, jam 4.30 petang kelmarin.

“Nilai syabu ini dianggarkan lebih RM200,000. Kami percaya modus operandi baru digunakan suspek bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Dalam dua serbuan itu polis turut menyita dua kereta model Toyota Vios dan Corona milik suspek dianggarkan bernilai RM65,000,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 7:50 AM