MARIAM dan Md Sidek (duduk dua dari kanan) serta Mohd Puad (berdiri dua dari kanan) mengaminkan doa dibaca.
Oleh Nazdy Harun


Marang: “Sabar adalah kunci kepada kami tiga beradik sepanjang menjaga ayah, ibu dan adik yang menghidap pelbagai penyakit kronik,” kata Md Sabruddin Md Sidek, dari Kampung Durian Guling, dekat sini.

Md Sabruddin, 30, berkata, ibunya, Mariam Jusoh, 61, menghidap diabetes, lelah, darah tinggi, gout, buah pinggang dan buta kedua-dua belah mata sejak setahun lalu.

Katanya, bapa, Md Sidek Long, 60, pula menghidap diabetes kronik, darah tinggi dan sakit sendi manakala adiknya Md Aminuddin, 26, mengalami pendarahan dalam otak dan gangguan saraf.

“Saya bersama dua lagi adik iaitu Md Nasiruddin, 29, dan Md Hisham, 28, selain dibantu isteri saya secara bergilir-gilir menjalankan tugas seperti memandikan ayah, ibu dan adik selain menyediakan keperluan harian mereka.

“Ayah menderita sejak sembilan tahun lalu manakala ibu pula sejak tiga tahun lalu menyebabkan kedua-dua matanya buta selain terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

“Adik pula disahkan mengalami pendarahan dalam otak sejak dua bulan lalu apabila tiba-tiba mengadu sakit kepala dan sesak nafas,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, semalam.

Menurutnya, adiknya sudah melalui satu pembedahan membuang darah beku di dalam kepala dua bulan lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan kini Aminuddin masih mengalami gangguan saraf menyebabkan dia terlantar di rumah.

Katanya, doktor memaklumkan adiknya mengalami masalah itu akibat terlalu letih, banyak berfikir dan tidak cukup tidur selain koma selama 20 hari selepas menjalani pembedahan.

Sabruddin berkata, adiknya itu sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah di daerah ini dan kejadian berlaku selepas adiknya pulang menghadiri satu majlis makan malam.

“Sabar adalah kunci bagi kami tiga beradik memandangkan hanya kami tinggal bersama keluarga manakala tiga lagi adik tinggal berjauhan.

“Tidak mudah untuk menjaga pesakit kronik tetapi tanggungjawab sebagai anak dan abang menguatkan diri saya untuk menempuh dugaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:21 AM