Mustafar memberi susu khas kepada isterinya yang menghidap kanser otak dan paru-paru.

Pekan: “Ramadan kali ini tidak bermakna lagi buat saya sekeluarga apabila isteri tersayang, Norhairani Md Dawi, 46, kini terlantar selepas disahkan menghidap kanser otak dan paru-paru tahap empat.

“Isteri mengalami masalah kesihatan selepas dua hari menjalani ibadat puasa tahun lalu selama enam bulan dia menjalani pelbagai jenis rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sebelum keadaannya kini semakin serius,” kata Mustafar Osman, 57.

Dia yang menetap di Kampung Datuk Keramat, Ganchong, di sini, berkata, isterinya kini lumpuh sepenuhnya dan tidak lagi mampu bercakap selepas air tulang belakangnya diambil pada Ogos tahun lalu.

Katanya, Norhairani kini hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang diberikan lima kali sehari menggunakan tiup melalui hidung.

Mustafar berkata, disebabkan tidak boleh bergerak dan terlantar di atas katil, badan isterinya mula kejang dan dijangkiti penyakit kulit.

“Sebelum ini, saya menyediakan perbelanjaan lebih RM8,500 sebulan untuk menyediakan susu khas dan sejenis ubat berharga RM259 sebiji yang perlu dimakan setiap hari, namun disebabkan masalah kewangan, saya tidak lagi mampu meneruskannya.

“Dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan sebagai tukang kebun sekolah, saya terpaksa menggadai tanah bagi menampung kos perubatan isteri dan perbelanjaan persekolahan lima anak setiap hari.

“Isteri saya kini hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Walaupun berdepan pelbagai masalah namun saya bersyukur anak-anak memahami masalah, dihadapi,” katanya yang mempunyai tujuh anak berusia antara tiga hingga 23 tahun.

Mustafar yang juga Ketua Kampung Datuk Keramat dan Ganchong Hulu, di sini, berkata, disebabkan masalah kewangan meruncing, dia kini tidak lagi mampu menyediakan ubat berharga RM259 sebiji walaupun isterinya amat memerlukannya.

Menurutnya, keceriaan dia dan isteri membesarkan anak mereka sebelum ini seolah-olah disentap dan ditarik begitu cepat apabila Norhairani disahkan menghidap kanser otak dan paru-paru tahap empat, tahun lalu.

Katanya, Norhairani yang sebelum ini adalah Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Ganchong Hulu tidak lagi mampu bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:25 AM