Mohammad Khairi (tengah) bersama Mas Imran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Johari (dua dari kiri) di kediaman mereka Pangsapuri Jasa Taman Mutiara Rini Skudai, Johor Bahru.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: “Sebelum ini kami menetap di sebuah surau lama di Taman Pulai Indah Skudai, selama setahun, malah pernah berkongsi tempat tinggal dengan lebih 10 pekerja asing di tapak pembinaan berdekatan,” kata Safinah Abdul Manan, 27, ibu kepada lima anak yang kisah kesempitan hidup keluarganya viral di media sosial sejak kelmarin.

Safinah berkata, suaminya, Johari Nordin, 38, seorang mualaf bekerja sebagai pembantu sebuah bengkel kenderaan dengan gaji RM1,300 sebulan, manakala dia pula suri rumah menguruskan lima anak berusia lapan tahun hingga sembilan bulan di rumah mereka di Pangsapuri Jasa Taman Mutiara Rini, Skudai.

Katanya, akibat kesempitan hidup, mereka sekeluarga tidur hanya beralaskan tikar getah dan cadar selain terpaksa menyerahkan seorang lagi anak perempuan mereka berusia dua tahun untuk dijaga oleh keluarganya di kampungnya di Pahang.

“Kami baru berpindah dan menyewa di sini sejak setahun lalu dengan bayaran RM350 sebulan.

“Saya tidak mengetahui ada pihak berkongsi kisah keluarga di laman sosial sehingga ramai orang menghubungi saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Safinah berkata, dia syukur dan gembira di atas keprihatinan orang ramai bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut datang dan berjanji membantu kami menguruskan permohonan mendapatkan sijil kelahiran untuk anak saya.

“Saya sudah beberapa kali berusaha mendapatkan surat beranak untuk mereka , tetapi tidak berjaya menyebabkan anak sulung dan adiknya berusia tujuh tahun tidak dapat bersekolah” katanya.

Semalam keluarga berkenaan dikunjungi Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah Mohammad Khairi A Malik dan Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam yang turut menyampaikan sumbangan keperluan harian.

Sementara itu, Mohammad Khairi berkata, keluarga berkenaan turut diberikan bantuan di bawah Tabung Kebajikan Sayangi Gelang Patah dan membantu merujuk kes keluarga itu kepada Jabatan Agama Islam bagi mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:26 AM