RUMAH didiami Rosli sekeluarga musnah dalam kebakaran, pagi semalam.

Rembau: Lima sekeluarga tidak dapat menyambut hari raya di rumah mereka di Kampung Minching Baru, dekat Pedas di sini, selepas rumah pusaka didiami musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Ketika kejadian jam 4 pagi itu, Rosli Mohamad, 40, dan keluarganya tiada di rumah kerana bermalam di rumah sepupunya yang terletak di kampung berhampiran.

Rosli berkata, kebakaran disedari jiran ketika dia bangun tidur untuk menyediakan juadah sahur dan bertindak menghubungi bomba namun gagal menyelamatkan rumahnya yang terbakar.

Menurutnya, dia bersama isteri, Nor Azlianti Naemat, 43, dan tiga anak iaitu Aiman Danial, 9, Amar Hakimi, 4, dan Afiq Rashidi, 3, sering bermalam di rumah sepupunya, Zaiton Osman, 50, kerana membantu wanita terbabit berniaga di bazar Ramadan di Pekan Rembau, di sini.

“Saya menerima panggilan daripada jiran memberitahu rumah kami terbakar lalu segera pulang ke rumah. Sebaik tiba, saya melihat bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

“Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku tetapi bersyukur kerana semua ahli keluarga saya terselamat. Rumah ini milik bapa saudara yang membenarkan kami tinggal di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 9:26 AM