Kuala Lumpur: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sentiasa melipat- gandakan usaha dalam memastikan kemantapan iman saudara baru dan mengelak mereka terpinggir selepas bergelar seorang Muslim.

Penolong Pegawai Dakwah PERKIM Amran Abdullah berkata, pihaknya bukan saja mempelbagaikan program untuk memantapkan iman saudara baru, malah turut memandang serius aspek kebajikan mereka.

“Tugas PERKIM membantu mempermudahkan urusan pihak berkuasa agama termasuk aspek berkaitan mualaf.

“Keutamaan kami memberi tumpuan kepada mualaf dan menjaga mereka dengan betul dengan mengadakan program.

“Kami tak ambil mudah, selepas mengislamkan mereka kami buat susulan supaya mereka tak terabai dan iman mereka terus mantap,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, selain pihak berkuasa agama, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan juga penting bagi membantu menjaga kebajikan saudara baru.

“Kami tak mahu ada antara mereka kembali ke agama asal atau menggunakan status mualaf untuk meminta sedekah kerana ini menjejaskan imej Islam itu sendiri.

“Sebab itu kami anjurkan pelbagai program dan kelas asas agama Islam dari semasa ke semasa supaya mualaf yang berdaftar dengan kami tidak tersasar daripada matlamat asal mereka memeluk Islam,” katanya.

Sementara itu, Amran berkata, sempena Ramadan ini, pihaknya menganjurkan program Ihya’ Ramadan bermula jam 6.30 petang hingga 10 malam dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat.

“Ini memang tradisi kami sepanjang Ramadan. Sebelum berbuka puasa, mereka mengikuti tazkirah dan ceramah ringkas daripada penceramah PERKIM.

“Selepas berbuka puasa, mereka menunaikan solat Maghrib diikuti Tarawih sebelum moreh mengakhiri pertemuan setiap hari,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun jumlah saudara baru yang diperuntukkan mengikuti program itu dijangkakan 200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 11:05 AM