ANTARA perisa yang terdapat di Gelaihh.
ANTARA perisa yang terdapat di Gelaihh.
Oleh Errah Amran


Georgetown: Selain kepelbagaian juadah di bazar Ramadan Bayan Lepas yang menjadi kegilaan orang ramai, gerai minuman ‘Gelaihh’ di bazar itu juga tidak putus dikunjungi pelanggan sejak seminggu lalu.

Usaha pasangan suami isteri, Mohamed Erwan Abdullah, 31, dan Nur Ashrani Jalani, 31 mengkomersialkan minuman popular dari Thailand itu nyata mendapat sambutan baik serta membawa kelainan kepada penggemar minuman sejuk.

Nur Ashrani berkata, perkataan ‘gelaihh’ bermaksud gelas yang disebut dalam loghat utara.

“Bersesuaian dengan konsep diketengahkan, lima jenis minuman disediakan diisi dalam cawan plastik menyerupai gelaih dan dijual kepada pelanggan.

“Bagi peminat teh dan kopi Siam, kami menyediakan minuman ini menggunakan cara sama, tetapi dengan sentuhan berbeza.

“Bahan digunakan juga berkualiti bagi memastikan rasanya menyerupai minuman di negara jiran itu,” katanya.

Menurutnya, lima jenis minuman disediakan Thai Iced Ovaltine, Thai Iced Green Tea, Thai Iced Milk Tea, Thai Iced Coffee dan Thai Iced Rose Milk.

Mohamed Erwan berkata, pelanggan bebas memilih sama ada minuman dipesan mahu dipek dalam plastik atau cawan plastik besar.

“Harga dikenakan bagi setiap minuman berpatutan iaitu RM3.50 bagi pek plastik dan RM5 untuk gelas plastik.

“Sambutan diterima menggalakkan dan Ramadan ini menjadi platform kami mengembangkan perniagaan di bazar.

“Selepas Aidilfitri nanti, perniagaan kami akan mula beroperasi seperti biasa di Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:39 AM