Kuala Lumpur: Seorang penganggur dipenjara 30 hari dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencuri minyak angin dan bedak muka dalam kompleks beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini.

Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Abang Mahani Abd Ghani, 34, apabila tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan Abang Mahani menjalani hukuman penjara 20 hari lagi jika gagal membayar denda selain hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkap, 29 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri tiga minyak angin dan tujuh bedak muka berjumlah RM139.50 di farmasi Guardian, Pavilion di Jalan Bukit Bintang, 5.45 petang 29 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia sudah insaf.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon hukuman setimpal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 8:43 AM