NORAZAH menunjukkan dua jari anaknya, Mohd Faizal cacat selepas terkena mercun empat tahun lalu.
NORAZAH menunjukkan dua jari anaknya, Mohd Faizal cacat selepas terkena mercun empat tahun lalu.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: “Saya menyesal bermain mercun kerana ia memberi kesan apabila bukan saja kehilangan dua jari tangan kiri, malah sehingga kini, saya gagal mendapat pekerjaan tetap dan hanya mampu melakukan kerja kampung bagi menyara kehidupan,”

Begitu kata Mohd Faizal Ibrahim, 21, yang kehilangan jari manis dan jari hantu akibat bermain mercun buatan sendiri kira-kira empat tahun lalu sehingga menyukarkan dirinya mencari pekerjaan.

Mohd Faizal berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8 pagi, iaitu pada hari pertama Aidilfitri di ruang tamu rumahnya ketika dia bersendirian, manakala ibunya, Norazah Aziz, 44, sedang memasak di dapur.

Katanya, pada pagi kejadian, dia pergi mengutip mercun yang tidak meletup di sekitar kawasan kampung dan membawa pulang ke rumah untuk diproses dijadikan mercun buatan sendiri yang bunyinya lebih kuat berbanding mercun biasa.

“Sebelum itu, ibu melarang saya bermain mercun kerana bimbang sesuatu buruk berlaku apatah lagi saya berusia 18 tahun dan baru habis sekolah.

“Saya berjalan kaki seorang diri mengutip mercun yang tidak meletup dan memasukkan belerang ke dalam bekas minuman yang digunting menyebabkan ia mampat lalu dimasukkan dawai yang dijadikan sebagai sumbu.

“Namun, ketika cuba memusing dawai beberapa kali menyebabkan ia panas dan apabila saya cuba meletakkannya pada belerang tiba-tiba ia meletup dengan kuat. Saya pada mulanya berasa kebas di bahagian tangan kiri dan tidak sedar tapak tangan hancur,” katanya ditemui di rumahnya, di Kampung Pong Manis, Kuala Nerang, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 9:10 AM