Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Enam lelaki termasuk dua beradik dan seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan membuat pakatan mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini, April lalu.

Bagaimanapun, keenam-enam tertuduh tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Mereka terdiri daripada dua peniaga kedai baja, Mohd Anwar Azmi, 33, dan adiknya, Mohd Nurkamal, 30, penjaga stor, Mohd Hafifi Tarmizi, 25, peniaga air, Izwan Shameer Suzaimi, 25, pekerja kedai tayar, Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 22, serta remaja terbabit yang berasal dari Perak.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di negara ini iaitu mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat dekat sini antara jam 7 petang, 24 April lalu dan 1 pagi keesokannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengemukakan pertuduhan terhadap semua tertuduh mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Kedua-dua beradik itu diwakili peguam, KL Chee manakala Mohd Hafifi diwakili peguam Ridha Abdah Subri. Bagaimanapun, tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, 12 lelaki ditahan di Hutan Lipur Gunung Nuang, Hulu Langat kerana merancang mengebom beberapa sasaran di Lembah Klang adalah anggota kumpulan militan tempatan yang baru.

Ketika ditahan, mereka membawa bersama sembilan beg mengandungi bahan yang akan diadun untuk menghasilkan bom.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:11 AM