KAYU getah bertaburan atas jalan menghempap penunggang motosikal dan kereta.
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Semenyih: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan menyayat hati apabila isi perutnya terkeluar manakala pinggangnya terkulai akibat dihempap timbunan kayu getah yang jatuh dari sebuah lori dalam kemalangan di kilometer 28, Jalan Kuala Lumpur-Seremban pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh dikenali sebagai P Ravi, 25, maut di tempat kejadian akibat parah pada badan.

Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk dari arah Kajang menghala ke Semenyih ekoran dua lorong ditutup.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, kejadian berlaku apabila pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar pembahagi tengah jalan sebelum merempuh motosikal mangsa dari arah belakang.

“Akibat perlanggaran itu, kayu getah jatuh menimpa mangsa.

“Terdapat tiga lagi kenderaan ditimpa kayu getah berkenaan ketika melalui laluan itu, namun pemandu dan penumpang di dalam ketiga-tiga kenderaan itu selamat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 29 tahun sudah ditahan manakala kenderaannya dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 8:15 AM