PPM Pelabuhan Klang menahan 59 warga Indonesia dalam bot pukat tunda di Laut Kuala Bernam, semalam.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Sabak Bernam: Taktik menggunakan bot pukat tunda untuk menyeludup keluar warga Indonesia yang mahu menyambut Aidilfitri di kampung halaman tidak menjadi apabila perbuatan itu dihidu pihak berkuasa, awal pagi, kelmarin.

Walaupun pada luarannya, ia sama seperti bot yang mahu keluar menangkap ikan, namun hasil pemeriksaan lanjut menemui 59 warga asing ‘disumbat’ di dalam bot itu yang dipercayai dalam perjalanan ke Indonesia.

Warga asing terbabit dikatakan membayar tambang antara RM600 hingga RM1,000 kepada sindiket memandangkan jalan laut adalah pilihan terakhir pulang ke Indonesia.

Namun, ‘kegembiraan’ mereka berakhir apabila pergerakan bot dihidu sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang yang menjalankan Op Tango Papa jam 1.30 pagi di Laut Kuala Bernam, di sini.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menahan tiga lagi warga Indonesia yang bertugas sebagai tekong dan awak-awak bot berkenaan.

Menurutnya, PPM Pelabuhan Klang sudah membuat intipan dan risikan jam 11 malam selepas mendapat maklumat sebelum melihat bot pukat tunda kelas A melalui kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 47 lelaki dan 12 wanita berusia 20 hingga 50 tahun berhimpit di dalam bot bersama bagasi masing-masing.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua 59 warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah selain permit kerja tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing ditahan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk proses dokumentasi sebelum ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 7:59 AM