Oleh Nabihah Kamal

Kajang: Seorang penganggur memaksa teman wanitanya menelan pil gugur janin selepas mengetahui kekasihnya itu mengandung empat minggu.

Lelaki berusia 24 tahun dikatakan berniat membunuh bayi itu selepas enggan bertanggungjawab terhadap anak hasil hubungan luar nikah mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, wanita berusia 21 tahun itu mengaku dirogol suspek di dalam kereta ketika berdua-duaan di Menara Tinjau, Batu 14, Hulu Langat di sini.

Menurutnya, mangsa yang mengandung akibat perbuatan itu meminta suspek bertanggungjawab.

“Bagaimanapun suspek memaksa mangsa menelan pil menggugurkan kandungan yang baru mencecah usia sebulan.

“Akibatnya mangsa yang juga seorang penuntut universiti swasta di ibu kota menanggung azab kesakitan sebelum mengalami keguguran,” katanya.

Beliau berkata, rahsia itu bagaimanapun terbongkar apabila mangsa dibawa kakaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan sakit berpanjangan dialami sejak seminggu lalu.

“Doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa mengalami keguguran. Susulan itu satu laporan polis dibuat kakak mangsa selepas mengetahui adiknya diperkosa.

“Polis menjalankan siasatan sebelum menahan suspek di rumahnya di Sri Gombak pada jam 3 pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, suspek yang disoal siasat mengaku memperkosa mangsa dan mengugut mahu memalukan mangsa jika perkara itu terbongkar.

Willey berkata, suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:15 AM