X

Maran: Seorang lelaki hampir kehilangan tangan kiri apabila ditetak penyamun yang memecah masuk rumahnya sebelum merentap rantai leher isteri mangsa dalam kejadian di FELDA Jengka 10, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang secara tiba-tiba menendang pintu depan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Maran Asisten Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, mangsa berusia 40 tahun cuba mempertahankan diri, namun ditetak dengan parang oleh seorang daripada penyamun terbabit di tangan kirinya.

“Penyamun berkenaan membiarkan mangsa mengerang kesakitan sebelum mengambil barang kemas isterinya yang sedang mandi sebelum bertindak melarikan diri menerusi pintu depan.

“Isteri mangsa yang melihat keadaan suaminya yang parah segera meminta pertolongan jiran sebelum lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, keadaan lelaki berkenaan dilaporkan stabil, namun tangan kirinya patah dipercayai kesan tetakan penjenayah terbabit dan polis sedang memperhebatkan siasatan serta operasi bagi menahan suspek.

“Setakat ini anggaran kerugian masih dalam siasatan dan polis akan melakukan operasi dan pemantauan untuk menahan kedua-dua suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata,” katanya.

Mat Rizal menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan pintu atau tingkap rumah masing-masing dikunci bagi memastikan penjenayah tiada ruang untuk menceroboh masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:17 AM