ANTARA poster ‘tawaran khas’ yang digantung di kawasan perumahan.
Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: “Kami cuma membantu dan mahu ‘beraya’ juga.” Itu antara reaksi selamba ceti haram atau along yang menggunakan pelbagai taktik dan tawaran pinjaman wang kepada orang ramai terutama umat Islam yang mengalami masalah kewangan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Tinjauan Metro Ahad di beberapa taman perumahan di sekitar Cheras mendapati lambakan jumlah poster iklan along semakin memenuhi jalan utama dan kawasan kediaman penduduk sama ada digantung pada pokok atau kemudahan awam terutama papan tanda.

Selain menampal pelekat bersaiz kecil atau sederhana, ahli sindiket turut mula mengedarkan risalah dan kertas yang diletakkan di pintu pagar, peti surat dan kenderaan di kawasan berkenaan.

Bagi meraih keyakinan orang ramai untuk membuat pinjaman peribadi, ada antaranya menawarkan ‘Promosi Hari Raya’ yang kononnya boleh diluluskan dalam tempoh hanya 30 minit selain mengenakan kadar faedah terendah.

Wartawan Metro Ahad melakukan penyamaran dengan cuba menghubungi beberapa nombor telefon pada iklan itu tetapi hanya satu panggilan dijawab seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Alex.

Sebelum menerangkan secara lebih terperinci, lelaki itu menetapkan syarat supaya penulis memperkenalkan diri terlebih dulu dengan memberitahu nama, pekerjaan, jumlah gaji diterima setiap bulan, nama syarikat alamat tempat tinggal.

Apabila disoal mengenai syarat berkenaan, dia mahu mengetahui jumlah pinjaman yang ingin dibuat sebelum memutuskan perbualan apabila mengesyaki sesuatu.

Kakitangan swasta Faizal Ahmad Dani, 33, berkata, dia menyedari kewujudan poster iklan along terutama di tepi jalan kawasan perumahan di sekitar ibu kota semakin bertambah saban hari seperti ‘cendawan’ menjelang musim perayaan.

“Sudah diketahui umum bahawa along ini satu sindiket haram yang sengaja menjerat mangsanya untuk memperoleh keuntungan berlipat ganda sehingga sanggup melakukan pelbagai serangan psikologi seperti ugutan terutama menyimbah cat ke kediaman peminjam.

“Namun, mereka kini dilihat semakin terdesak untuk menjerat mangsa terutama umat Islam yang pasti tercari-cari sumber kewangan untuk menyambut hari raya.

“Mereka menjanjikan pelbagai tawaran menarik yang pada hakikatnya masih membebankan peminjam untuk membayarnya kelak,” katanya yang menetap di Taman Bukit Cheras, di sini.

Menurutnya, pihak berkaitan memang mengambil tindakan bagi mengatasi permasalahan itu namun masih berlarutan kerana sindiket berdegil untuk ‘mempromosikan’ pinjaman peribadi kepada orang ramai.

Justeru, kata Faizal, selain tindakan pembersihan dan penguatkuasaan lebih tegas, masyarakat perlu bekerjasama menyalurkan maklumat serta tidak sekali-kali terjebak meminjam wang daripada lintah darat itu untuk kegunaan Aidilfitri kelak.

Bagi peniaga, Nurul Rosiah Mahusin, 45, dia nyaris terpedaya dengan tawaran sebuah syarikat yang menawarkan pinjaman bersempena Aidilfitri menerusi iklan risalah kecil diedarkan di kawasan kediamannya di Taman Segar, Cheras.

“Saya pada awalnya tertarik kerana mereka yang mendakwa sebagai pemberi pinjaman berlesen bukan saja 99 peratus boleh diluluskan malah menawarkan kadar ‘bunga’ hanya lima peratus dan boleh dibayar dalam tempoh jangka masa panjang sehingga lima tahun. Selain itu, ia tidak memerlukan penjamin dan sebarang cagaran.

“Namun, apabila memikirkannya semula dan bertanyakan kepada suami, saya kemudian sedar bahawa ia antara taktik along yang hanya akan menyusahkan peminjam kelak,” katanya.

Menurut ibu kepada dua anak itu, dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap ceti haram berkenaan yang mengambil kesempatan menjerat mangsa terutama ketika musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:07 AM